MENGGAPAI KHUSYUK DALAM IBADAH
SHALAT
Tanyakan pada
diri kita, bagaimana fikiran, perasaan dan rasa hati semasa mengerjakan solat?
Adakah fokus
kita tertumpu sepenuhnya kepada Allah? Atau hati masih liar, fikiran masih
merawang dan perasaan masih kacau semasa mendirikan solat?
Bagaimana pula
soal penghayatannya?
Adakah kita
dapat merasai apa yang telah kita fahami itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan
dalam solat itu adakah kita lakukan dengan sedar?
Atau hanya
sekadar ucapan biasa yang tidak membawa apa-apa makna dan rasa?
“Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang
yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun 23: 1-2]
.
Apakah itu khusyuk?
Solat yang
khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk
patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat.
Semasa solat,
seseorang itu berhubung secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan
solat, seseorang hamba berdoa terus dihadapan-Nya.
Hubungan dengan
Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di dalam hati yang kemudian
membentuk hati itu akur, taat dan patuh kepada Allah.
Diriwayatkan
apabila para sahabat Rasulullah SAW solat ditengah padang pasir, burung-burung
akan hinggap dibahu, malah ada diatas kepala dan badan mereka, kerana menyangka
mereka ialah pohon kayu. Begitulah, diam dan pegunnya jasad mereka ketika
solat.
Bagaimana pula
dengan kita insan biasa untuk khusyuk di dalam solat?
Saya pasti ramai
diantara kita sangat teringin dan tercari-cari formula untuk menjadi salah
seorang hamba Allah yang khusyuk di dalam solat.
InsyaaAllah,
dalam artikel ini akan berkongsi formula yang dengan izinNya, akan membantu
kita untuk khusyuk di dalam solat.
Tujuh Langkah Menuju Khusyuk Dalam Solat
1.
Mencari Pengertian (Faham)
Perkara ini
perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap
perbuatan dalam solat.
Apabila
mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap
kalimahnya perlu diketahui satu per satu.
Jadi, belajarlah
bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib
dan sunat dalam solat.
“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai
menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Namun memahami
makna sahaja tidak memadai, kita perlu melangkah ke tahap seterusnya.
.
2.
Memusatkan Fikiran (Fokus)
Tahap kedua
ialah pemusatan fikiran. Menghindarkan gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran,
perbuatan dan ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan
dan perbuatan dalam solat.
Mungkin kita
telah memahami makna bacaan, tetapi oleh sebab tidak fokus, seseorang yang
membacanya hanya umpama “orang mengigau” dalam tidur.
Sekiranya
seketika kita terfikir juga hal-hal lain, tapi ingatan dan fikiran tetap terikat
pada tujuan solat (mengingati Allah), keadaan ini samalah seperti orang yang
sedang memandu kereta.
Fikirannya tetap
fokus kepada destinasi yang hendak dituju walaupun sekali – sekala ternampak
juga objek-objek dan pemandangan di tepi-tepi jalan.
Semua itu tidak
menggangu fokusnya.
Lain pula halnya
jika dia “terlalai” dengan pemandangan-pemandangan di tepi jalan sehingga dia
tidak sedar bahawa sudah terlajak jauh daripada destinasinya.
.
3.
Membesarkan Allah (Rasa ‘Haibah’)
Perlu diingat,
pemusatan fikiran bukan ditujukan kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di
sebalik bacaan itu.
Ertinya, tumpuan
bukan hanya pada huruf dan ayat serta sebutan, tetapi pada makna dan
tafsirannya. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘pengertian’.
Hanya orang yang
kenal raja akan bercakap-cakap dengan penuh penghormatan, rasa takut, malu dan
rendah diri.
Sebaliknya,
orang yang tidak kenal raja, akan bercakap-cakap dengan baginda secara
biasa-biasa sahaja.
Apabila orang
yang kenal Allah mengucapkan kalimah “Allahuakbar” misalnya, dia bukan sahaja
tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya
kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan segala
makhluk.
Pada ketika
itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang
tidak mungkin terjadi diluar solat.
Oleh itu pada
peringkat permulaan, cubalah untuk merasakan kita sedang berhadapan seorang
raja yang sangat berkuasa dan kita perlu fokus dihadapanNya.
4.
Kagum dan Takut akan Keagungan Allah (Rasa Khauf)
Hasil daripada
merasai kebesaran Allah, maka timbul pula rasa takut dan kagum kepada-Nya. Rasa
takut dan kagum kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada
perkara-perkara lain.
Kita takut
kepada harimau kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana
kehebatan-Nya. Takut akan harimau, kita lari menjauhinya, tetapi takut akan
Allah kita datang menghampirinya.
Rasa takut akan
timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah dan Neraka-Nya.
Rasa takut ini
diterjemahkan dalam solat dengan perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala,
mata melihat ke tempat sujud (tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.
.5. Rasa Mengharap Kepada Allah (Rasa Raja’)
Apa yang
dimaksudkan dengan rasa mengharap?
Rasa mengharap
ialah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan
syurga Allah.
Jika rasa takut
sahaja dibiarkan mendominasi jiwa, dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan
jahat sangka terhadap Allah.
Padahal dalam
reality, Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hamba-Nya yang
berdosa.
Oleh sebab itu,
ulama berpesan dalam keadaan biasa seseorang hendaklah menyeimbangkan
rasa takut dan harapnya umpama dua sayap pada burung yang membolehkannya
terbang dengan stabil dan selamat.
Jangan terlalu
takut, nanti timbul sangka buruk kepada Allah. Jangan terlalu harap, nanti
terjadi sikap sambil lewa serta “berangan-angan” akan keampunan Allah.
Rasa harap dalam
solat ini adalah menerusi penghayatan ketika bacaan al-Fatihah (mengharapkan
jalan yang lurus), bacaan qunut (mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain)
dan bacaan ketika duduk diantara dua sujud (mengharap keampunan, belas kasihan,
ditinggikan darjat, dan lain-lain)
Manakala melalui
perbuatan duduk dalam tahiyat awal dan akhir, sujud serta rukuk – semuanya
melambangkan rasa pengharapan seorang hamba yang sedang meminta-minta dan
merayu-rayu.
.
6. Rasa
Malu dan Hina Diri (Rasa Haya’) dalam solat
Rasa malu dan
hina diri ialah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU
ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah.
Apabila ada rasa
berdosa maka barulah timbul rasa malu.
Cara untuk
menimbulkan rasa berdosa ialah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan
kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak
prasangka buruk, tidak sabar dan reda dengan takdir dan banyak “berhutang”
kepada Allah.
Sewaktu sujud,
kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa
dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud).
Manakala
dubur yang sentiasa disorokkan dibawah, ketika sujud telah dijongketkan ke atas
sebagai cara meleburkan kesombongan dan kebesaran diri!
7.
Memakai Pakaian Yang Paling nyaman
Dan Paling Cantik Ketika Solat
Untuk kaedah
yang terakhir ini, tidak berkaitan dengan enam kaedah diatas. Nampak seperti
remeh, namun ia juga adalah salah satu langkah yang boleh dipraktikkan untuk
mencapai khusyuk di dalam solat.
Sebolehnya
pilihlah pakaian yang paling selesa, suci dan khas untuk solat.
Pilih
pakaian yang diperbuat daripada material yang paling baik, yang tidak membuatkan
kita berpeluh apabila panas, tidak longgar atau ketat sehingga mengganggu
pergerakan solat.
Dan juga
pilihlah yang paling cantik, sempurna dan dikhaskan untuk solat. Kerana solat
kita adalah untuk menghadap Allah, Raja yang paling Agung dan Allah sangat
sukakan kecantikkan.
Innallah jamil, wa
yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
Penutup: Solat yang Khusyuk Akan Mendidik Hati Membina Rasa Bertuhan
Sebagai ingatan,
ada bezanya antara solat yang khusyuk dan solat yang sah. Solat yang khusyuk
sudah semestinya sah. Tetapi solat yang sah belum tentu khusyuk.
Solat yang
khusyuk ialah solat yang berjaya menyentuh dan mendidik hati, akal dan nafsu
manusia. Ia juga akan membina rasa bertuhan.
Rasa bertuhan
akan mendatangkan rasa gagah, berani dan optimis dalam hidup.
Walau sekuat
mana pun ujian hidup melanda, segala-galanya dapat diatasi dengan baik kerana
adanya “talian hayat” denga Yang Maha Berkuasa.
Diri yang lemah
akan menjadi gagah apabila hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir oleh
Allah. Rasa bertuhan juga menimbulkan harapan dan impian yang sentiasa hidup
dan menyala-nyala.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar